Roh Seni dan Budaya

Sesi perkongsian ilmu rekanegara siri ke ke-13 membawa kita mengimbau kembali sejarah seni dan budaya masyarakat Malaysia pra dan pasca kemerdekaan. Banyak bukti-bukti sejarah yang menunjukkan bahawa generasi terdahulu bersedia menerima perubahan dan bertoleransi.

 

Mereka mengangkat peranan yang dimainkan oleh seni reka sebagai salah satu sarana utama dalam merekod dan mendokumentasikan peristiwa sejarah serta budaya masyarakat supaya dapat dijadikan rujukan bagi generasi akan datang. Ini menunjukkan betapa instrumentalnya seni reka sebagai medium penyampaian maklumat yang sedia ada ketika itu.

 

Meskipun berada dalam keadaan yang mendesak, generasi terdahulu masih mampu menyuntik semangat dan identiti budaya dalam segala bentuk termasuklah seni bina dan tekstil kerana mereka sedar betapa esensialnya identiti dalam pembentukan dan pewarisan jati diri yang utuh, umpama roh dalam jasad; tanpanya segala-galanya hilang makna dan dengannya kita menikmati erti kehidupan.

 

Mungkin kita dapat rumuskan daripada sesi kali ini bahawa sepantas mana kita memacu ke hadapan, ada masanya kita perlu menoleh ke belakang supaya tidak lupa di mana tempat kita bermula. Ia seharusnya dijadikan sebagai motivasi kepada improvisasi diri kerana kebebasan itu tidak lain adalah suatu perubahan ke arah yang lebih baik.

 

Seperti kata Sasterawan Negara, Usman Awang, “Maruah suatu bangsa adalah kemerdekaannya, kekuatan suatu bangsa adalah rakyatnya, suara-bicara suatu bangsa adalah pemimpinnya, keperibadian suatu bangsa adalah kebudayaannya.” 

 

Azielahaneem Idris

Ahli Bersekutu, rekanegara

Copyright © 2020 #rekanegara . All rights reserved.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *