Formula kerja yang dipegang En Raphil Rahman iaitu ‘niat + mekanisme = hasil’ dijadikan sebagai rumah api yang memandu hala tuju kerjaya serta salah satu faktor penting yang menentukan keberhasilan sesuatu usaha yang dilakukannya. Beliau percaya bahawa setiap pekerjaan yang disertakan dengan tujuan yang murni pasti akan membuahkan hasil yang dapat dituai untuk suatu tempoh yang panjang. Oleh itu seni reka harus mempunyai intensi dan reka bentuk grafik ialah seni dalam bentuk komunikasi visual yang mempunyai misi untuk bertindak sebagai solusi kreatif kepada permasalahan komuniti. 

Ini mengingatkan saya kepada kata-kata pereka grafik tersohor iaitu Milton Glaser, “Saya pergi bekerja setiap pagi dengan kemungkinan saya dapat belajar sesuatu yang belum saya ketahui … Anda harus melihat setiap masalah dan berfikir, ‘apa yang dapat saya pelajari dengan melakukan ini?’ Dan jika anda fikir anda tidak dapat belajar apa-apa, lupakan sahaja.”

Seperti kehidupan yang memerlukan tujuan, begitulah juga bidang seni reka. Ianya suatu proses pembelajaran yang tidak harus terkongkong dalam satu ruang lingkup semata-mata kerana kita hendaklah membebaskan diri dari kotak pemikiran yang dogmatik jika mahu terus belajar. 

Tentu sahaja dalam kehidupan ini, tiada kejayaan yang dapat dicapai dengan mudah dan kita akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai ujian. Akan tetapi semua ujian itu akan dapat dihadapi dengan tenang jika kita melihatnya sebagai satu fasa metamorfosis bagi mempersiapkan diri untuk perjalanan yang lebih jauh. Kerana, setiap perubahan akan sentiasa menuntut pengorbanan. 

Azielahaneem Idris
Ahli Bersekutu, rekanegara

 

https://www.rekanegara.com/beyonddesign

Copyright © 2020 #rekanegara . All rights reserved.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *